KGMMB Yang Sama Seperti GPMS
Keengganan KGMMB menyokong usul agar pihak Kementerian Pelajaran memberikan kekebalan kepada para guru daripada dikerah bekerja secara paksa pada hari Sabtu serta memberikan elaun khas atas inisiatif guru terbabit sudah lama dijangkakan.
Kesatuan yang semakin tidak relevan dengan aliran pandangan perdana para guru itu dilihat seakan makhluk asing yang cuba mengaku berada di kalangan guru sebagai pembela namun menikam masyarakat guru dari belakang.
KGMMB dikatakan hanya berani bersuara dalam lingkungan terbatas, lebih cenderung menyuarakan sokongan guru kepada kerajaan serta tidak memperjuangkan secara serius nasib guru siswazah.
Seolah-olah tidak menyedari (barangkali kerana presidennya sendiri bukan guru dalam ertikata sebenar yang berada di kalangan masyarakat sekolah tetapi bertaraf professor madya) bahawa khalayak guru semakin ditindas hari demi hari sedangkan mereka juga sama seperti kakitangan lain yang memerlukan masa untuk beriadah, bercuti, memanfaatkan peluang hari Sabtu dan Ahad untuk keluarga masing-masing, guru disarankan agar bertugas secara ikhlas tanpa memperdulikan sama ada pengorbanan mereka itu juga turut mengorbankan masa berkualiti dengan keluarga tercinta dan keperluan asasi guru sendiri.
Sering dipertikaikan bahawa guru diberi cuti dua bulan iaitu bulan 11 dan bulan 12 setiap tahun. Bagi pengkritik guru, itulah hujah mereka menyatakan bahawa guru seringkali manja. Namun tahukah mereka, guru-guru tetap bertugas - ada yang memeriksa kertas, ada yang dipanggil merancang sesi persekolahan tahun hadapan, mengikuti kursus dan mesyuarat, mengendalikan pelbagai kursus? Tahukah mereka bahawa guru tidak seperti kakitangan lain yang boleh ambil cuti dengan bebas walaupun boleh memohon dengan pengetua. Kami cuma dibenarkan mohon cuti (dengan sebab yang telah disenaraikan sahaja). Itupun beberapa hari sahaja...
Apakah erti ikhlas itu? Bukankah keikhlasan guru juga turut diragui apabila mereka dikehendaki menandatangani satu perakuan taat setia yang pelik satu ketika dahulu? Adakah para guru tidak ikhlas selama ini dangan perkhidmatan mereka? Kenapa tidak tanyakan perkara yang sama kepada anggota keselamatan (polis atau tentera), buruh, tukang kebun, kerani pejabat, pegawai kastam atau mana-mana kakitangan awam lain? Ikhlaskah presiden KGMMB memimpin persatuannya tanpa membaham imbuhan dan elaun?
Adakah perlu soal ikhlas dipertikaikan kalau guru semata-mata mohon keadilan terhadap takrifan bekerja pada hari Sabtu agar setara dengan kakitangan awam lain? (untuk rekod, guru juga sudah saban hari membawa balik kerja sekolah ke rumah - kertas peperiksaan, buku tulis, kertas PEKA, alat bantu mengajar dan lain-lain - tak cukup lagikah?). Itupun tidak campur masa yang habis di padang sekolah, tempat latihan bahas, pidato, olahraga, pasukan beruniform di waktu petang dan juga ketika menghadiri pelbagai kursus dan mesyuarat. Ingat..balik kursus atau mesyuarat, mereka mesti cover sukatan balik...)
Kalaulah ikhlas itu boleh membayar segala penat lelah berulang alik, duit minyak kereta, masa saya dengan ahli keluarga, keperluan keluarga saya...sudah pasti ramai guru-guru berlumba-lumba mengadakan kelas hari Sabtu. Masalahnya realiti duniawi sudah berubah. Sekarang zaman bergerak pantas. Guru tidak boleh hidup sekadar bergajikan keikhlasan. Cakap senang, namun kalau jadi presiden KGMMB tidak berelaun, sudah pasti presidennya sendiri sudah lama berhenti. Realistik sikitlah..jangan bermain-main kata muluk dengan emosi para guru. Kami tahu anda siapa dan apa yang anda telah buat...
Bagi saya presiden KGMMB hanya ghairah memelihara kedudukan politiknya dan mempersetankan kegundahan guru Malaysia yang saban hari dilaporkan ditimpa bermacam masalah ciptaan dasar KPM seperti PPSMI, Pentaksiran berasaskan sekolah, kekurangan guru dan lain-lain. Bagi saya beliau memilih untuk berada di kelompok penentang bagi mempopularkan dirinya dengan pandangan idealis dan glokal yang tidak berpijak di bumi nyata.
Presidennya, Prof. Madya Dr. Abdul Rahman Daud berkata, kerjaya perguruan tidak boleh disamakan dengan kakitangan kerajaan lain yang bertugas mengikut waktu pejabat.
(tahukah anda..guru tak boleh claim kerja lebih masa macam kakitangan lain - kenapa yang itu tak timbul)
``Kerjaya perguruan satu yang mulia dan ia perlu lebih fleksibel dengan tidak perlu mewajibkan lima hari bekerja.
(oh kalau begitu, kerajaan bebas mengarahkan guru bekerja bila-bila masa sahajalah? Kenapa perkhidmatan lain tidak difeksibelkan juga..adakah kerana kekurangan kemuliaannya??)
``Kalau ada guru ringan tulang hendak datang pada hari Sabtu bagi membantu pelajar, mereka boleh datang,'' katanya.
(Tidak dinafikan..baguslah kalau ramai guru yang begitu..tetapi jangan jadi satu paksaan..kami juga nak bayar bil, nak bayar pinjaman kereta, nak buat urusan bank, nak urus pendaftaran anak, nak settle keperluan keluarga..bila hari Sabtu dah jadi hari tidak bekerja bagi kakitangan lain..kami sudah ditimpa banyak masalah!)
Selain itu, tuntutan elaun khas bagi mereka yang bekerja pada Sabtu adalah suatu yang tidak wajar kerana tidak melambangkan keikhlasan seorang guru.
(Baiklah Prof..duit minyak kereta guru? duit belanja makan pelajar? yaa.. semuanya boleh dibayar dengan keikhlasan bukan? Prof lainlah..gaji belas ribu..mana nak sama dengan kami yang cukup makan ni...)
``Kalau kata nak tetapkan kerja lima hari seminggu itu kita tidak boleh terima, profesion perguruan tidak boleh terlalu kaku,'' katanya.
(Oleh kerana tidak terlalu kakulah, maka banyak lambakan program tak berguna kementerian lain dan syarikat korporat di tala ke sekolah-sekolah. Guru sudah dibebankan dengan melatih pelajar bertanding itu ini, kadang-kadang kena tinggalkan sekolah berhari-hari bawa budak ke sana-sini...oh..maaf prof tak tahukan..sebab prof bukan duduk kat sekolah! prof sentiasa bermain dengan gambaran guru dari persepsi idealis..serupa macam dalam buku masa kat maktab kut?)
KGMMB pada satu ketika dahulu pernah mencadangkan agar kerajaan mengenakan sistem sewaan buku teks untuk mengelakkan kerajaan menanggung beban dalam jangka masa panjang. Presiden KGMMB memberikan reaksi itu apabila diminta mengulas cadangan Kementerian Pelajaran untuk memberikan buku teks kepada semua pelajar sekolah secara percuma berikutan peratusan pelajar yang layak menerima skim pinjaman buku teks (SPBT) terlalu ramai hingga mencecah 83 peratus. Menurut Presidennya, Prof. Madya Dr. Rahman Daud, kadar sewa yang tidak membebankan itu akan mewujudkan situasi menang-menang antara kerajaan dan ibu bapa pelajar. Inilah satu-satunya pemimpin kesatuan guru yang menolak agar buku teks diberikan secara percuma kepada para pelajar.
Kalau GPMS sebuah gabungan pelajar sekarang ini didesak untuk digantikan kepimpinannya agar seorang pelajar (bukan lagi pemimpin politik tua bangka dan pasif yang mengambil kesempatan) menduduki teraju teratas, saya merasakan bahawa presiden dan ahli-ahli KGMMB turut perlu merasakan tempiasnya. Professor itu barangkali tidak tahu bahawa seandainya apa-apa berlaku kepada pelajar ketika guru bertugas di luar hari bekerja seperti hari Sabtu, tindakan undang-undang membolehkan guru tersebut didakwa. Dan seperti biasa, guru hanya boleh ternganga dan menyatakan bahawa dia disuruh oleh pihak atasan yang akan menafikannya.
ikuti sambungannya....
Oleh Cikgu Tak Berpersatuan - Cikgu Komando

0 Comments:
Post a Comment
<< Home