Saturday, November 12, 2005

Tutup Mulut...Shut Up!!

Polemik Bahasa Inggeris dipergunakan sebagai medium pengajaran Sains dan Matematik telah berlarutan sehingga ke tahap membimbangkan majoriti ibu bapa di Malaysia. Namun oleh kerana kepentingan politik dan survival kompeni-kompeni peliharaan kroni yang menghasilkan laba berjuta-juta dari projek PPSMI ini dari sekecil-kecil penerbit buku sampailah ke sebesar-besar pembekal perisian dan peralatan komputer, pihak kerajaan khususnya UMNO bersedia mengorbankan masa hadapan para pelajar.

Sebenarnya perlaksanaan PPSMI ini telah menemui kegagalan dan ini dapat dibuktikan melalui keputusan ujian diagnostik yang telah dijalankan secara drastik dan tergesa-gesa oleh Kementerian Pelajaran sebelum pelajar-pelajar tingkatan tiga pada tahun ini mengambil peperiksaan PMR. Namun bagi memelihara air muka Mahathir, Barisan Nasional dan terutamanya para pemimpin UMNO maka agenda pembaharuan yang kononnya pada asal bertujuan mengatasi masalah bahasa Inggeris telah melarat menjadi virus pemusnah keupayaan anak-anak Melayu untuk cemerlang dan memahami sains dan teknologi.

Saya sudah terlalu penat untuk mengemukakan bukti ini banyak kali tetapi jika anda masih ragu-ragu silalah belek buku-buku tulis dan kertas peperiksaan anak-anak anda. Buktinya semua ada di rumah-rumah setiap rakyat Malaysia. Lihatlah kualiti jawapan anak anda dari segi tatabahasa bahasa inggeris dan juga isi kandungan sainsnya. Anggarkan kemajuan Bahasa Inggeris anak anda setelah tindakan drastik dasar ciptaan UMNO ini. Perhatikan banyak kali anak anda tersalah faham maksud soalan, terkeliru dan kiralah berapa banyak ruang kosong yang ditinggalkan dalam kertas jawapan anak anda. Jangan ditanya pada menteri sebab beliau tidak pernah memeriksa kertas jawapan pelajar, masakan dia mahu tahu atau ambil peduli. Laporan tentang bebanan guru pun baru nak dijenguknya hari ini setelah sekian lama guru merungut. Kebanyakan anak mereka juga bukan belajar di sekolah kebangsaan seperti orang lain tetapi memasuki sekolah ternama dan berjenama belaka dengan sukatan kurikulum berbeza. Persetankan anak rakyat Malaysia. Kamu siapa?

Seluruh sistem pendidikan kita semakin kucar-kacir disebabkan kelemahan dasar. Guru-guru terpaksa menunaikan nafsu besar pemimpin negara dalam kepayahan. Guru ada yang tak mampu mengajar dengan baik dalam BI, murid tak mampu nak kuasai BI, lokaliti ataupun situasi masyarakat setempat tidak banyak membantu guru dan pelajar menguasai sains matematik dalam BI dan para menteri terus bercerekarama dengan andaian pencapaian bahasa inggeris akan meningkat sekiranya sains dan maths diajar dalam bahasa penjajah. Bukankah gila namanya.

MASERU (Lesotho) 11 Nov. - Dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kekal, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau mahu semua pihak yang membangkitkan isu itu supaya `tutup mulut'.

``Saya tidak mahu lagi isu ini digembar-gemburkan,'' katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata Abdullah, setelah tiga tahun pelaksanaannya mungkin sudah elok masanya supaya penilaian dilakukan bertujuan mengukur keberkesanannya.

``Tetapi dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik adalah kekal,'' tegasnya.

Dan itupun Pak Lah suruh semua orang tutup mulut mengenai perkara ini. Wajarkah seorang Perdana Menteri memperkecilkan intelektualiti dan kemahuan bersuara rakyat Malaysia? Apa yang mahu disembunyikan oleh pemimpin Barisan Nasional? Kegagalan dasar PPSMI ini bagai wabak yang lebih hebat daripada selsema burung yang diperkatakan oleh majoriti rakyat Malaysia yang tahu berfikir di peringkat bawahan, menengah malah atasan sendiri, dan tak perlu sampai tahap 25% untuk kita mengetahui kegagalannya. Bukan soal nak gembar-gembur. Bukan soal nak cipta isu. Tetapi masalahnya hampir setiap isi rumah di Malaysia sekarang sedang bergelut dengan masalah ciptaan BN iaitu bagaimana nak memulihkan pencapaian sains dan matematik anak-anak mereka. Nak tunggu berapa ramai lagi budak sekolah jadi mangsa baru kementerian nak bertindak mengubah dasar separuh masak yang menjadikan ramai pelajar di Malaysia seolah-olah tikus makmal! Itu tak cakap lagi soal sepertiga murid-murid sekolah rendah tak boleh membaca.

Media pun pelik. Macam tidak menyedari prestasi anak masing-masing. Perkara ini lebih penting daripada menyiarkan berita Pak Lah hari-hari mengunjungi pusara Endon sewaktu hari raya. Orang ramai menyampah dengan sampah berita yang dilambakkan dalam surat khabar seolah-olah tidak ada cerita lain. Masyarakat dipaksa untuk bersedih sedangkan soal-soal genting lain dipinggirkan semata-mata untuk bermain emosi dengan cerita Endon dan Mawi. Orang lain pun mati juga setiap hari. Ramai lagi kes-kes kematian dahulu yang melibatkan anak-anak kecil terutama penyakit hati, tidak ada pun sentuhan simpati daripada perdana menteri mahupun wakil kerajaan. Berapa ramai anak kecil terkorban kerana tak mampu mendapat rawatan kerana biayanya terlalu tinggi. Apa sangat yang saya nak sedihkan pasal Endon kalau sebelum ini keluarganya pun tak pernah simpati dengan nasib rakyat. Saya sebenarnya terlalu sedih dengan orang suratkhabar terutama para editor yang sudah tidak keruan memilih tajuk utama. Mereka bagi saya, sudah hilang harga diri dan nilai keilmuan yang mereka pelajari dan paparkan pada masyarakat hanya bertuankan pada pemilik suratkhabar.

Berbalik pada soal utama, asal usul idea gila ini sebenarnya dikatakan berpunca daripada salah seorang pegawai pengiring Dr. Mahathir yang dikatakan tak mampu bertutur dalam bahasa inggeris dengan baik ketika berada di luar negara menemani beliau. Cetek sekali pemikiran beliau sehingga mengubah keseluruhan kurikulum sains dan matematik dan menjejaskan kefahaman asas yang sangat perlu sebagai teras rakyat Malaysia cemerlang dalam bidang ini.

Tidak disangka seorang perdana menteri yang dijangka mampu mengubah kesilapan Mahathir, meneruskan warisan songsang yang mampu menterbalikkan orang-orang Melayu.

Ironinya, mampukah Pak Lah menutup mulut seluruh rakyat Malaysia yang sedang geram, bernanah bak harimau luka, melihat kehancuran masa depan anak-anak, sedara dan sepupu mereka melalui perlaksanaan melalut PPSMI? Kerajaan mungkin boleh mengubah bencana itu secara sementara dengan mengubahsuai graf kelulusan peperiksaan agar lebih ramai lulus hasil ihsan Lembaga Peperiksaan Malaysia seperti ketika zaman Najib dahulu, tetapi apakah implikasinya terhadap generasi ini? Mereka akan gagal apabila berada di universiti seperti yang pernah dikeluh-kesahkan oleh bekas Menteri Pelajaran iaitu Tan Sri Musa Mohamad apabila beliau mendapati pelajar tak mampu menjalankan amali asas sains dengan baik ketika di universiti. Itulah yang menyebabkan PEKA diperkenalkan semula di Malaysia awal 2002.

Keparahan ini makin menjalar sekiranya dibiarkan lebih lama, dan kemuncaknya Barisan Nasional bukan sahaja menjadi semakin tidak popular di kalangan orang Melayu dan India, malah penyokong kuat mereka iaitu orang-orang Cina.....

Resolusi Dong Jiao Zong
Lee Ban Chen
Nov 11, 05 3:25pm
Malaysiakini

Pada 11 November 2002 lagi, Dong Jiao Zong telah mengeluarkan kenyataan menegaskan pendirian pergerakan Cina tersebut: "menyokong sepenuhnya usaha peningkatan tahap penguasaan Bahasa Inggeris, tetapi membantah keras pengajaran dan pembelajaran serta peperiksaan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di SJKC", berasaskan alasan-alasan berikut:

* Sejak tahun 80an lagi, Dong Jiao Zong telah mengemukakan cadangan supaya bahasa Inggeris di SJKC diajar mulai darjah satu, bukan mulai darjah tiga seperti yang diamalkan masa itu;

* Ciri-ciri sekolah pelbagai aliran di negara kita adalah berasaskan penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar utama dan ini sudah termaktub di dalam akta pendidikan kita. Oleh itu, pelaksanaan dasar pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris bukan saja bertentangan dengan prinsip dan norma pendidikan, hasrat rakyat, tetapi juga bercanggah dengan akta pendidikan negara kita;

* Pada 10 November 2002, Menteri Pendidikan telah mengumumkan bermula dari tahun 2008, peperiksaan mata pelajaran Sains dan Matematik akan dijalankan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris bagi semua aliran sekolah rendah. Oleh itu, "formula 2-4-3"hanya merupakan formula sementara dalam tempoh peralihan;

* "Formula 2-4-3"(atau sebarang formula yang diubahsuai daripadanya) yang mengulangi pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di samping pengajaran dalam bahasa ibunda, akan memburukkan lagi masalah ketidakseimbangan struktur ilmu pengetahuan (termasuk pelajaran bahasa, sains dan matematik yang dianggarkan menduduki 78 peratus daripada seluruh masa pengajaran dan pembelajaran) dengan pembangunan kerohanian dan jasmani (termasuk pendidikan moral, jasmani dan kesihatan, muzik serta seni yang hanya mencakupi 20 peratus masa sahaja);

* Kementerian pendidikan tidak menyediakan guru tambahan bagi pelaksanaan "Formula 2-4-3", ini bermakna keadaan kekurangan guru dalam SJKC akan menjadi lebih buruk lagi selepas pelaksanaan Formula tersebut;

* Berasaskan pengalaman dalam pembangunan pendidikan selama ratusan tahun, Dong Jiao Zong membuat kesimpulan bahawa pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa ibunda adalah yang paling berkesan sekali.

Amat dikesali, apabila Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ditanya mengenai cadangan Dong Jiao Zong itu, beliau memberi jawapan yang merupakan "klise" birokratik yang berprasangka.

Kata beliau: "Kerajaan akan menimbangkan cadangan mengenai dasar pendidikan negara jika cadangan-cadangan itu tidak berfikiran sempit dan tidak mempromosi kepentingan satu kaum, satu aliran atau satu agama yang tertentu."

"Apa pun cadangan yang mereka ingin serahkan, ia harus dipandang dari konteks yang lebih luas. Jika tidak, setiap kali kita membincangkan pendidikan, kumpulan tertentu akan berjuang untuk kaum dan aliran yang tertentu saja."

(tanya lain dijawab lain? hmm... - cikgu komando)

Klise birokratik Hishammuddin membayangkan kecetekan pemahaman beliau mengenai masalah yang dihadapi oleh pelajar semua aliran sekolah rendah dan menengah negara kita, akibat pelaksanaan dasar bahasa Inggeris itu.

Mungkin Hishammuddin, malah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri, patut menemui Dong Jiao Zong untuk mengkaji cadangan terbabit dan sekaligus mengkaji semula dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris secara mendalam, demi mempertahankan ciri-ciri pendidikan bahasa ibunda semua aliran seperti yang terjamin oleh akta pelajaran negara kita.

Nampak gaya orang Cina sendiri pun boleh menilai kemampuan berfikir menteri-menteri Malaysia.

2 Comments:

At 5:49 PM, Blogger - cikgu komando - said...

get lost...!!

 
At 6:29 AM, Anonymous Anonymous said...

sedihkan bila terkenang nasib anak bangsa...semakin teruk nampak gayanya. Rasanya bangsa melayu yang mewarisi 'perangai' UMNO atau hasil buatan UMNO lebih 90% adalah teruk. Umno la satu2nya parti pemerintah yang inginkan bangsanya BODOH dan MISKIN. UMNO terlalu mementingkan diri dan kekayaan. Ya ALLAH, berikanlah kesedaran dan kekuatan pada bangsa melayu. Jangan biarkan dirimu diperbodohkan oleh UMNO. kembalilah mempelajari sejarah Rasulullah S.A.W dan al-Quran

 

Post a Comment

<< Home